Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat merasmikan peringkat akhir musabaqah
22/04/2025




Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi pada malam pertama memperdengarkan bacaan daripada enam peserta iaitu tiga qari dan tiga qariah dari 12 peserta akhir pada kali ini.

Berangkat merasmikan majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Juga berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan paduka adinda dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2025M.

Turut menjunjung keberangkatan tiba, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1446H dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof juga selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2025M.

Juga menjunjung keberangkatan tiba, Menteri Kesihatan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar yang selaku Pengendali Bersama Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2025M; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof selaku Pengendali Bersama Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2025M.

Sejurus keberangkatan tiba, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah selanjutnya berkenan mengurniakan sabda perasmian.

Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam sembah alu-aluannya menyembahkan bahawa Musabaqah kali ke-67 tahun diadakan ini adalah bertemakan 'Akal Sihat Dengan Al-Quran' iaitu pada mendukung dan menyuntik kesedaran serta menjayakan usaha kita senegara dalam menangani gejala mental dengan pendekatan kerohanian di samping ilmu dan amalan praktikal aspek perubatan dan kesihatan.

Menurut sembah Yang Berhormat, dalam masa yang sama tema 'Akal Sihat Dengan Al-Quran' adalah juga bererti dengan mengamalkan gaya hidup sihat, yang dalam konteks Al-Quran ialah amalan membaca Al-Quran yang antaranya akan mententeramkan jiwa, hati sanubari dari resah gelisah dan gundah gulana, iaitu sebagaimana maksud dari firman Allah, dalam Surah ar-Ra'd ayat 28 yang tafsirnya : “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram".

Dalam hubungan musabaqah ini dan musabaqah-musabaqah membaca Al-Quran yang berterusan diadakan, sembah Yang Berhormat adalah sebagai merangsang suasana ayat-ayat Al-Quran dibacakan hampir setiap waktu dan ketika.

Namun dalam pada itu, sembah Yang Berhormat, kita perlu juga menyedari bahawa ke arah yang dimaksudkan untuk berakal sihat dengan Al-Quran melalui amalan gaya hidup yang sihat itu adalah tersedia melalui dasar pendidikan nasional kita.

“Sesungguhnya pendidikan formal yang meliputi pembelajaran ugama atau pengetahuan Islam (Islamic Knowledge), secara amali khasnya bersembahyang dan membaca Al-Quran di sekolah-sekolah itu, di samping ada yang mempelajarinya secara non-formal atas inisiatif persendirian atau keluarga dengan mendatangkan guru mengaji mengajar ke rumah-rumah, dan menghantar anak-cucu ke masjid- masjid pada sebelah pagi Jumaat, kesemuanya itu adalah dilihat sebagai usaha negara dan orang ramai untuk memungkinkan generasi demi generasi kita adalah generasi yang celik Al-Quran yang tentunya akan lebih baik dan sempurna lagi dengan berjinak-jinak untuk memahami ayat-ayat yang dibaca.

“InsyaaAllah semua itu akan membawa berkat iaitu berkat Al-Quran itu sendiri dan berkat membaca dan memahami kandungannya. Dengan itu adalah selaras dengan tujuan tema musabaqah 'Akal Sihat Dengan Al-Quran' melalui mengamalkan cara hidup sihat iaitu usaha sendiri dengan melazimkan membaca Al-Quran," sembah Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya menyembahkan bahawa ungkapan kata tema musabaqah 'Akal Sihat Dengan Al-Quran' tidaklah semata-mata bermaksud untuk mengawasi dan mengatasi gejala mental akan semakin bertambah di kalangan kita lalu semakin ramai pesakitnya untuk dirawat secara kerohanian di samping secara ilmiah praktikal perubatan dan kesihatan.

Sebaliknya, sembah Yang Berhormat, kita menyediakan sarana untuk mengelakkannya dengan kita sendiri dan generasi seterusnya terdidik bersekolah formal dalam dasar pendidikan nasional, aliran persekolahan umum dan persekolahan ugama / Arab.

Dengan itu, sembah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, kita dan generasi kita seterusnya mempunyai persediaan untuk mengamalkan cara atau gaya hidup sihat secara kerohanian dengan pandai membaca Al-Quran, apatah lagi dengan memahami ayat-ayatnya.

“Maka sekali gus dengan pandai membaca Al-Quran dan melazimkan diri untuk membacanya adalah dalam usaha menjaga dan memastikan kita akan berakal sihat dengan mengamalkan gaya hidup sihat secara kerohanian melalui Al-Quran yang dimiliki dan dibaca dengan lazim," sembah Yang Berhormat lagi.

Majlis diteruskan dengan bacaan enam peserta yang didahului oleh Awang Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya yang membacakan Surah Saba ayat 1-8 dengan lagu 'Soba' dan 'Sikah', diikuti bacaan Surah Saba ayat 7-13 daripada Dayangku Alma Hazirah binti Pengiran Haji Jofri dengan lagu 'Sikah' dan 'Rast'.

Manakala, Pengiran Md. Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki seterusnya memperdengarkan Surah Saba dari ayat 14-21 dengan membawakan lagu 'Soba' dan 'Rast'.

Peserta keempat, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki selanjutnya mengetengahkan Surah Saba dari ayat 20-30 dengan lagu 'Soba' dan 'Jiharkah', diikuti bacaan daripada Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri menerusi Surah Saba ayat 29 hingga 36 dengan lagu 'Hijaz' dan 'Rast'.

Sementara peserta keenam, Dayangku Alya Syahirah binti Pengiran Haji Jofri kemudiannya memperdengarkan bacaannya menerusi Surah Saba dari ayat 36-45 dengan lagu 'Rast' dan 'Jiharkah'.

Majlis juga turut diserikan dengan Persembahan Nasyid (Al-Quran Syafa'ah) lagu tema musabaqah oleh Kumpulan Amirul Huffaz dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446H / 2025M ini membawakan tema 'Akal Sihat Dengan Al-Quran' dan ia berlangsung selama tiga hari berturut-turut dan akan disambung lagi pada hari kedua, 23 April 2025.

Sementara itu, Majlis Pengumuman Keputusan bagi menentukan Johan Qari dan Qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446H / 2025M akan diumumkan pada Khamis malam Jumaat, 24 April 2025 berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas nanti.

Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Brunei Shell Marketing Company Sendirian Berhad.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto